Tuesday, October 5, 2010

Artikel

Dapur dihiasi sofa


INILAH mahligai yang didiami Zulkifli sekeluarga.


RINGKAS tetapi lapang. Mungkin itu sudah cukup untuk menggambarkan kediaman Zulkifli Sutan Taharuddin, 48, dan isterinya Yuhari Yunus, 46.

Terletak di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, Zulkifli mengubahsuai sendiri banglo setingkat yang dibelinya pada tahun 2007.

Kini, kediaman itu telah bertambah setingkat lagi menjadi dua tingkat.

“Jika kita mengubahsuai sendiri kediaman, kosnya akan berkurangan sekali ganda selain berpuas hati dengan hasilnya.

“Bahan-bahan binaan seperti simen, marmar dan pasir saya beli daripada beberapa syarikat pembekal bahan-bahan binaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Jurnal.

Untuk kelengkapan rumah, Zulkifli membeli 100 peratus produk tempatan termasuk sofa, meja perhiasan, katil, kabinet serta aksesori hiasan.

Bermula dari pintu pagar hingga ke hujung dapur, semuanya dipenuhi produk tempatan.


KOLAM ikan menjadi tempat Zulkifli mencari ketenangan dengan melihat ikan-ikan berenang.


Kolam ikan

Kata Zulkifli, barangan tempatan mudah diperoleh selain harganya yang berpatutan.

“Ia senang sahaja dibeli di kedai-kedai perabot sekitar Kuala Lumpur. Kualitinya juga baik dan tahan lama,” ujarnya.

Di luar rumah, Zulkifli membina sebuah kolam ikan yang berkonsepkan alam semula jadi.

Kolam seluas enam meter persegi itu dipenuhi dengan ikan-ikan kegemarannya seperti kelah, jelawat, patin dan keli yang keseluruhannya berjumlah lebih 60 ekor.

Di tepi kolam, pokok-pokok hiasan seperti paku-pakis, bunga ros, melur, ati-ati, kekwa, bunga kertas, mawar, anggerik dan teluki hidup subur dan menghijau.

Terdapat juga sebuah meja makan ringkas berhampiran kolam tersebut. Ia menjadi lokasi bersantai bersama keluarga pada waktu lapang. Kata Zulkifli, melihat ikan-ikan berenang-renang di dalam kolam merupakan kegemarannya.

“Ini sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan selepas hampir seharian bekerja,” ujarnya.

Di dalam rumah, ruang tamunya dihias ringkas. Cuma terdapat sebuah set sofa dengan gaya Inggeris.

Alasan Zukifli, hiasan yang terlalu banyak menyempitkan ruang dan menyesakkan pandangan beliau.

Hanya almari yang menempatkan gelas minuman, teko, serta kain langsir ringkas yang menjadi hiasan tambahan ruang tamunya.

Bahagian dapur juga unik kerana tidak mempunyai meja makan sebaliknya digantikan dengan set sofa.

“Seperti yang saya katakan, saya tidak mementingkan perhiasan mewah. Biar ringkas asalkan luas. Ia memudahkan saya dan ahli keluarga untuk berkumpul.

“Meja makan itu digantikan dengan meja kecil yang panjang seperti bar mini,” katanya tersenyum.


SET sofa menggantikan meja makan di dapur.


Pelik

Sebuah televisyen dan komputer peribadi turut diletakkan di dapur.

“Ini membolehkan saya berehat dan makan bersama keluarga sambil melayari Internet atau menonton televisyen.

“Bunyinya macam pelik kerana dapur selalunya wajib ada meja makan tetapi kediaman saya sebaliknya pula,” katanya.

Menjenguk bilik tidur pula, Zulkifli mementingkan ruang tidur yang luas dan selesa termasuk bilik tidur anak-anaknya.

Agak menarik kerana bilik tidur utama dan bilik tidur tetamu dilengkapi almari pakaian berasaskan kayu jati.

Menurut Zulkifli, sememangnya hampir 50 peratus perabot dan hiasan dinding rumahnya diperbuat daripada kayu jati.

“Ia lebih mudah untuk diselenggara selain kayu jati lebih tahan lama dan senang dicuci berbanding kayu jenis lain,” katanya.

Keunikan lain yang terdapat di kediaman ini ialah tangga yang 100 peratus dikemaskan dengan marmar yang beliau beli dari Ipoh, Perak.


BILIK ini dikhaskan untuk tetamu yang bermalam di sini.


Namun, tangga rumahnya tidak mempunyai selusur untuk berpaut dan mungkin agak membahayakan kanak-kanak.

“Apa yang hendak dirisaukan kerana keempat-empat anak saya sudah besar selain boleh menjaga diri dengan baik.

“Kini saya dan isteri hanya tinggal bersama seorang anak yang berumur enam tahun. Anak-anak yang lain semuanya tinggal di asrama,” katanya.

Thursday, April 8, 2010

Selamatkah rumah anda?

Salam.
Lama sungguh saya tidak bersiaran. Ada sedikit artikel yang dipetik dari sisipan Mega Utusan Malaysia siaran 8 April, 2010 Khamis untuk minda dipenghujung minggu berkerja ini.

+++++



ARTIKEL ini bukan dibuat untuk menakut-nakutkan tapi semata-mata untuk membantu anda mengurangkan risiko kemalangan bayi di rumah sendiri.

Walaupun yakin persekitaran dalam dan luaran rumah adalah selamat, mungkin informasi berikut dapat digunakan sebagai tindakan pencegahan.

Lima jenis kemalangan yang sering terjadi

Jatuh - Memang tidak ada apa yang pelik kalau kanak-kanak terjatuh. Masakan tidak bayi memang gemar belajar memanjat dan menaiki berbagai objek. Jadi tidak hairanlah kalau mereka sering terjatuh.

Keracunan - Ia terjadi apabila bayi tidak dapat membezakan antara bahan pencuci sabun dengan air minuman kerana warnanya yang menarik.

Lemas - Proses tenggelam terjadi sekelip mata, oleh itu waspadalah dengan baldi, besen atau kolam yang mengandungi air.

Luka dan terbakar - Kulit bayi menyerap asap dengan lebih cepat, jadi mereka sangat mudah untuk mengalami kesulitan bernafas.

Sulit Bernafas - Kecelakaan ini banyak melibatkan kegiatan tidur si kecil. Mungkin kerana posisi tidur yang salah, tertindih oleh orang tuanya yang tidur dekatnya atau tersedak benda-benda kecil seperti duit syiling, butang, mainan, makanan dan lain-lain.


Keselamatan di dapur

Jangan biarkan pemegang periuk mengadap keluar ketika sedang memasak.

Simpan pisau serta alat masak lainnya di dalam almari yang terkunci dan tidak mudah dibuka oleh si kecil.

Hindari penggunaan lapik meja. Bayi anda boleh menariknya dan menjatuhkan benda-benda yang berada di atasnya.

Jangan membiarkan peralatan pembersih lantai di merata-rata. Jangan biar kolam, baldi atau besen ditadah air kerana bayi anda boleh tenggelam walaupun pada air sedalam tiga sentimeter sahaja.

Jangan masak sambil dukung anak.


Keselamatan di bilik mandi

Hati-hati jika anda menggunakan pemanas air di bilik mandi. Pastikan anda menutup suisnya jika tidak dipakai.

Jika tandas di rumah anda jenis duduk, pastikan anda mempunyai pengunci khas supaya anak tidak boleh membuka penutupnya.

Letakkan sabun, syampu, pembersih lantai serta ubat-ubat pada tempat yang tidak terjangkau oleh si kecil.

Rak-rak yang ada di bilik mandi sebaiknya diletakkan pintu dan dikunci. Walaupun tidak ada benda yang berbahaya di dalamnya, bayi atau anak anda akan berusaha untuk memanjatnya jika ia dibiarkan terbuka.


Keselamatan di bilik tidur

Jangan membiarkan katil anak anda penuh dengan bantal dan anak patung, ini untuk mengelakkannya lemas ketika tidur.

Selain itu elak daripada membeli katil dua tingkat kerana dikhuatiri anak akan terjatuh ketika bermain memanjat.

Jika menggunakan bantal peluk, pastikan talinya ditanggal supaya anak anda tidak terjerut ketika tidur.

Barang permainan yang sudah rosak baiklah dibuang kerana ia mungkin akan mendatangkan kecederaan pada anak.


Keselamatan di ruang lain

Jika mempunyai anak kecil, sebaiknya gunakan meja dan perabot yang bersaiz lebar dan tidak beroda. Ini untuk mengelakkan anak anda tertindih ketika bermain berhampirannya.

Pastikan almari, rak buku dan perabot berat di skru ke dinding rumah untuk mengelak ia terjatuh jika dicapai oleh anak kecil.

Berhati-hati apabila menyusun hiasan dinding, biarlah kedudukannya tinggi supaya anak tidak boleh mencapainya.

Pastikan kabel-kabel alat elektronik ditutup dengan menggunakan penutup kabel.

Letakkan tempat sampah di mana bayi tidak boleh ke situ atau gunakan tempat sampah yang bertutup.

Jika membawa balik kerja ke rumah pastikan anda menyimpan semua peralatan tulis seperti pen, pensel, klip kertas dan sebagainya kerana ia berbahaya untuk bayi.

Memang kita tidak mampu untuk mengawasi bayi setiap waktu, namun ikhtiar panduan di atas boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan di rumah. Jangan ingat bayi anda tidak tahu apa-apa kerana mereka sebenarnya mampu melakukan banyak perkara di luar dugaan.

lsumber dari tipsbayi.com