Tuesday, October 5, 2010

Artikel

Dapur dihiasi sofa


INILAH mahligai yang didiami Zulkifli sekeluarga.


RINGKAS tetapi lapang. Mungkin itu sudah cukup untuk menggambarkan kediaman Zulkifli Sutan Taharuddin, 48, dan isterinya Yuhari Yunus, 46.

Terletak di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, Zulkifli mengubahsuai sendiri banglo setingkat yang dibelinya pada tahun 2007.

Kini, kediaman itu telah bertambah setingkat lagi menjadi dua tingkat.

“Jika kita mengubahsuai sendiri kediaman, kosnya akan berkurangan sekali ganda selain berpuas hati dengan hasilnya.

“Bahan-bahan binaan seperti simen, marmar dan pasir saya beli daripada beberapa syarikat pembekal bahan-bahan binaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Jurnal.

Untuk kelengkapan rumah, Zulkifli membeli 100 peratus produk tempatan termasuk sofa, meja perhiasan, katil, kabinet serta aksesori hiasan.

Bermula dari pintu pagar hingga ke hujung dapur, semuanya dipenuhi produk tempatan.


KOLAM ikan menjadi tempat Zulkifli mencari ketenangan dengan melihat ikan-ikan berenang.


Kolam ikan

Kata Zulkifli, barangan tempatan mudah diperoleh selain harganya yang berpatutan.

“Ia senang sahaja dibeli di kedai-kedai perabot sekitar Kuala Lumpur. Kualitinya juga baik dan tahan lama,” ujarnya.

Di luar rumah, Zulkifli membina sebuah kolam ikan yang berkonsepkan alam semula jadi.

Kolam seluas enam meter persegi itu dipenuhi dengan ikan-ikan kegemarannya seperti kelah, jelawat, patin dan keli yang keseluruhannya berjumlah lebih 60 ekor.

Di tepi kolam, pokok-pokok hiasan seperti paku-pakis, bunga ros, melur, ati-ati, kekwa, bunga kertas, mawar, anggerik dan teluki hidup subur dan menghijau.

Terdapat juga sebuah meja makan ringkas berhampiran kolam tersebut. Ia menjadi lokasi bersantai bersama keluarga pada waktu lapang. Kata Zulkifli, melihat ikan-ikan berenang-renang di dalam kolam merupakan kegemarannya.

“Ini sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan selepas hampir seharian bekerja,” ujarnya.

Di dalam rumah, ruang tamunya dihias ringkas. Cuma terdapat sebuah set sofa dengan gaya Inggeris.

Alasan Zukifli, hiasan yang terlalu banyak menyempitkan ruang dan menyesakkan pandangan beliau.

Hanya almari yang menempatkan gelas minuman, teko, serta kain langsir ringkas yang menjadi hiasan tambahan ruang tamunya.

Bahagian dapur juga unik kerana tidak mempunyai meja makan sebaliknya digantikan dengan set sofa.

“Seperti yang saya katakan, saya tidak mementingkan perhiasan mewah. Biar ringkas asalkan luas. Ia memudahkan saya dan ahli keluarga untuk berkumpul.

“Meja makan itu digantikan dengan meja kecil yang panjang seperti bar mini,” katanya tersenyum.


SET sofa menggantikan meja makan di dapur.


Pelik

Sebuah televisyen dan komputer peribadi turut diletakkan di dapur.

“Ini membolehkan saya berehat dan makan bersama keluarga sambil melayari Internet atau menonton televisyen.

“Bunyinya macam pelik kerana dapur selalunya wajib ada meja makan tetapi kediaman saya sebaliknya pula,” katanya.

Menjenguk bilik tidur pula, Zulkifli mementingkan ruang tidur yang luas dan selesa termasuk bilik tidur anak-anaknya.

Agak menarik kerana bilik tidur utama dan bilik tidur tetamu dilengkapi almari pakaian berasaskan kayu jati.

Menurut Zulkifli, sememangnya hampir 50 peratus perabot dan hiasan dinding rumahnya diperbuat daripada kayu jati.

“Ia lebih mudah untuk diselenggara selain kayu jati lebih tahan lama dan senang dicuci berbanding kayu jenis lain,” katanya.

Keunikan lain yang terdapat di kediaman ini ialah tangga yang 100 peratus dikemaskan dengan marmar yang beliau beli dari Ipoh, Perak.


BILIK ini dikhaskan untuk tetamu yang bermalam di sini.


Namun, tangga rumahnya tidak mempunyai selusur untuk berpaut dan mungkin agak membahayakan kanak-kanak.

“Apa yang hendak dirisaukan kerana keempat-empat anak saya sudah besar selain boleh menjaga diri dengan baik.

“Kini saya dan isteri hanya tinggal bersama seorang anak yang berumur enam tahun. Anak-anak yang lain semuanya tinggal di asrama,” katanya.