Tuesday, October 5, 2010

Artikel

Dapur dihiasi sofa


INILAH mahligai yang didiami Zulkifli sekeluarga.


RINGKAS tetapi lapang. Mungkin itu sudah cukup untuk menggambarkan kediaman Zulkifli Sutan Taharuddin, 48, dan isterinya Yuhari Yunus, 46.

Terletak di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, Zulkifli mengubahsuai sendiri banglo setingkat yang dibelinya pada tahun 2007.

Kini, kediaman itu telah bertambah setingkat lagi menjadi dua tingkat.

“Jika kita mengubahsuai sendiri kediaman, kosnya akan berkurangan sekali ganda selain berpuas hati dengan hasilnya.

“Bahan-bahan binaan seperti simen, marmar dan pasir saya beli daripada beberapa syarikat pembekal bahan-bahan binaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Jurnal.

Untuk kelengkapan rumah, Zulkifli membeli 100 peratus produk tempatan termasuk sofa, meja perhiasan, katil, kabinet serta aksesori hiasan.

Bermula dari pintu pagar hingga ke hujung dapur, semuanya dipenuhi produk tempatan.


KOLAM ikan menjadi tempat Zulkifli mencari ketenangan dengan melihat ikan-ikan berenang.


Kolam ikan

Kata Zulkifli, barangan tempatan mudah diperoleh selain harganya yang berpatutan.

“Ia senang sahaja dibeli di kedai-kedai perabot sekitar Kuala Lumpur. Kualitinya juga baik dan tahan lama,” ujarnya.

Di luar rumah, Zulkifli membina sebuah kolam ikan yang berkonsepkan alam semula jadi.

Kolam seluas enam meter persegi itu dipenuhi dengan ikan-ikan kegemarannya seperti kelah, jelawat, patin dan keli yang keseluruhannya berjumlah lebih 60 ekor.

Di tepi kolam, pokok-pokok hiasan seperti paku-pakis, bunga ros, melur, ati-ati, kekwa, bunga kertas, mawar, anggerik dan teluki hidup subur dan menghijau.

Terdapat juga sebuah meja makan ringkas berhampiran kolam tersebut. Ia menjadi lokasi bersantai bersama keluarga pada waktu lapang. Kata Zulkifli, melihat ikan-ikan berenang-renang di dalam kolam merupakan kegemarannya.

“Ini sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan selepas hampir seharian bekerja,” ujarnya.

Di dalam rumah, ruang tamunya dihias ringkas. Cuma terdapat sebuah set sofa dengan gaya Inggeris.

Alasan Zukifli, hiasan yang terlalu banyak menyempitkan ruang dan menyesakkan pandangan beliau.

Hanya almari yang menempatkan gelas minuman, teko, serta kain langsir ringkas yang menjadi hiasan tambahan ruang tamunya.

Bahagian dapur juga unik kerana tidak mempunyai meja makan sebaliknya digantikan dengan set sofa.

“Seperti yang saya katakan, saya tidak mementingkan perhiasan mewah. Biar ringkas asalkan luas. Ia memudahkan saya dan ahli keluarga untuk berkumpul.

“Meja makan itu digantikan dengan meja kecil yang panjang seperti bar mini,” katanya tersenyum.


SET sofa menggantikan meja makan di dapur.


Pelik

Sebuah televisyen dan komputer peribadi turut diletakkan di dapur.

“Ini membolehkan saya berehat dan makan bersama keluarga sambil melayari Internet atau menonton televisyen.

“Bunyinya macam pelik kerana dapur selalunya wajib ada meja makan tetapi kediaman saya sebaliknya pula,” katanya.

Menjenguk bilik tidur pula, Zulkifli mementingkan ruang tidur yang luas dan selesa termasuk bilik tidur anak-anaknya.

Agak menarik kerana bilik tidur utama dan bilik tidur tetamu dilengkapi almari pakaian berasaskan kayu jati.

Menurut Zulkifli, sememangnya hampir 50 peratus perabot dan hiasan dinding rumahnya diperbuat daripada kayu jati.

“Ia lebih mudah untuk diselenggara selain kayu jati lebih tahan lama dan senang dicuci berbanding kayu jenis lain,” katanya.

Keunikan lain yang terdapat di kediaman ini ialah tangga yang 100 peratus dikemaskan dengan marmar yang beliau beli dari Ipoh, Perak.


BILIK ini dikhaskan untuk tetamu yang bermalam di sini.


Namun, tangga rumahnya tidak mempunyai selusur untuk berpaut dan mungkin agak membahayakan kanak-kanak.

“Apa yang hendak dirisaukan kerana keempat-empat anak saya sudah besar selain boleh menjaga diri dengan baik.

“Kini saya dan isteri hanya tinggal bersama seorang anak yang berumur enam tahun. Anak-anak yang lain semuanya tinggal di asrama,” katanya.

Thursday, April 8, 2010

Selamatkah rumah anda?

Salam.
Lama sungguh saya tidak bersiaran. Ada sedikit artikel yang dipetik dari sisipan Mega Utusan Malaysia siaran 8 April, 2010 Khamis untuk minda dipenghujung minggu berkerja ini.

+++++



ARTIKEL ini bukan dibuat untuk menakut-nakutkan tapi semata-mata untuk membantu anda mengurangkan risiko kemalangan bayi di rumah sendiri.

Walaupun yakin persekitaran dalam dan luaran rumah adalah selamat, mungkin informasi berikut dapat digunakan sebagai tindakan pencegahan.

Lima jenis kemalangan yang sering terjadi

Jatuh - Memang tidak ada apa yang pelik kalau kanak-kanak terjatuh. Masakan tidak bayi memang gemar belajar memanjat dan menaiki berbagai objek. Jadi tidak hairanlah kalau mereka sering terjatuh.

Keracunan - Ia terjadi apabila bayi tidak dapat membezakan antara bahan pencuci sabun dengan air minuman kerana warnanya yang menarik.

Lemas - Proses tenggelam terjadi sekelip mata, oleh itu waspadalah dengan baldi, besen atau kolam yang mengandungi air.

Luka dan terbakar - Kulit bayi menyerap asap dengan lebih cepat, jadi mereka sangat mudah untuk mengalami kesulitan bernafas.

Sulit Bernafas - Kecelakaan ini banyak melibatkan kegiatan tidur si kecil. Mungkin kerana posisi tidur yang salah, tertindih oleh orang tuanya yang tidur dekatnya atau tersedak benda-benda kecil seperti duit syiling, butang, mainan, makanan dan lain-lain.


Keselamatan di dapur

Jangan biarkan pemegang periuk mengadap keluar ketika sedang memasak.

Simpan pisau serta alat masak lainnya di dalam almari yang terkunci dan tidak mudah dibuka oleh si kecil.

Hindari penggunaan lapik meja. Bayi anda boleh menariknya dan menjatuhkan benda-benda yang berada di atasnya.

Jangan membiarkan peralatan pembersih lantai di merata-rata. Jangan biar kolam, baldi atau besen ditadah air kerana bayi anda boleh tenggelam walaupun pada air sedalam tiga sentimeter sahaja.

Jangan masak sambil dukung anak.


Keselamatan di bilik mandi

Hati-hati jika anda menggunakan pemanas air di bilik mandi. Pastikan anda menutup suisnya jika tidak dipakai.

Jika tandas di rumah anda jenis duduk, pastikan anda mempunyai pengunci khas supaya anak tidak boleh membuka penutupnya.

Letakkan sabun, syampu, pembersih lantai serta ubat-ubat pada tempat yang tidak terjangkau oleh si kecil.

Rak-rak yang ada di bilik mandi sebaiknya diletakkan pintu dan dikunci. Walaupun tidak ada benda yang berbahaya di dalamnya, bayi atau anak anda akan berusaha untuk memanjatnya jika ia dibiarkan terbuka.


Keselamatan di bilik tidur

Jangan membiarkan katil anak anda penuh dengan bantal dan anak patung, ini untuk mengelakkannya lemas ketika tidur.

Selain itu elak daripada membeli katil dua tingkat kerana dikhuatiri anak akan terjatuh ketika bermain memanjat.

Jika menggunakan bantal peluk, pastikan talinya ditanggal supaya anak anda tidak terjerut ketika tidur.

Barang permainan yang sudah rosak baiklah dibuang kerana ia mungkin akan mendatangkan kecederaan pada anak.


Keselamatan di ruang lain

Jika mempunyai anak kecil, sebaiknya gunakan meja dan perabot yang bersaiz lebar dan tidak beroda. Ini untuk mengelakkan anak anda tertindih ketika bermain berhampirannya.

Pastikan almari, rak buku dan perabot berat di skru ke dinding rumah untuk mengelak ia terjatuh jika dicapai oleh anak kecil.

Berhati-hati apabila menyusun hiasan dinding, biarlah kedudukannya tinggi supaya anak tidak boleh mencapainya.

Pastikan kabel-kabel alat elektronik ditutup dengan menggunakan penutup kabel.

Letakkan tempat sampah di mana bayi tidak boleh ke situ atau gunakan tempat sampah yang bertutup.

Jika membawa balik kerja ke rumah pastikan anda menyimpan semua peralatan tulis seperti pen, pensel, klip kertas dan sebagainya kerana ia berbahaya untuk bayi.

Memang kita tidak mampu untuk mengawasi bayi setiap waktu, namun ikhtiar panduan di atas boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan di rumah. Jangan ingat bayi anda tidak tahu apa-apa kerana mereka sebenarnya mampu melakukan banyak perkara di luar dugaan.

lsumber dari tipsbayi.com

Thursday, November 12, 2009

Asas Arus Elektrik dan Elektronik


PENGENALAN

Untuk siri ini, kita akan bermula dengan pengenalan inovasi elektrik-elektronik. Banyak perkara-perkara di sekeliling kita menggunakan elemen-elemen berkaitan elektrik dan elektronik.

Bagi pembaca yang baru berjinak dengan dunia elektrik-elektronik ini, asas perkara ini amat penting untuk dipelajari dan difahami agar ia tidak menjadi satu perkara yang asing.

Sekurang-kurangnya ramai di antara kita yang akan celik elektrik-elektronik.

Bagaimana canggih sekali pun dunia siber sekarang, asasnya tetap sama.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mempelajari sedikit sebanyak agar dapat menambah pengetahuan.

Tenaga elektrik adalah nadi yang terpenting dalam menjana alatan elektrik dan elektronik.

Oleh yang demikian marilah kita mengenali asas tersebut terlebih dahulu.

Bateri 1.5v Volt) banyak digunakan untuk lampu picit, alat kawalan jauh televisyen, radio dan sebagainya.

Bateri 12v biasanya digunakan untuk kenderaan seperti kereta dan lori. Walaupun saiznya berbeza namun ia tetap menjana tenaga sebanyak 12v.

Bateri 6v digunakan pada motosikal dan bateri 9v digunakan untuk pelbagai alat.

* Maklumat lanjut,

sila lawati laman web www.zulldesign.com.my dan boleh e-melkan sebarang pertanyaan ke mail@zulldesign.com.my Minggu depan: Elektrik dan elektronik (Motor DC).

Kredit Artikel & Imej : Mega, Utusan Malaysia 12 Sep 09.



Wednesday, November 11, 2009

Kayu Lagi


Baru berkarya pasal kayu balak dua hari lepas, hari ini keluar satu artikel utama sisipan Mega Utusan Malaysia hari ini bertajuk : Kayu Tempatan Diiktiraf Dunia.

he he he...aku tak de kena mengena dalam itu cerita. Kebetulan aje, cuma nak petik dua artikel berikut.

****

AWAL kurun ke-18, pokok jenis kayu keras (hardwood) seperti cengal, merbau dan resak merupakan bahan-bahan binaan yang boleh dikatakan popular di kalangan komuniti pembalak British.

Bahkan, United Kingdom (UK) yang baru sahaja menceburi industri perhutanan Malaya (ketika itu) telah mengiktiraf ciri-ciri komersial pada hasil hutan Semenanjung negara menerusi jurnal Commercial Woods of The Malay Peninsula - Malayan Forest Records, No. 1” cetakan tahun 1921.

Bagaimana pada tahun 1960-an, apabila berlakunya penukaran tanah berskala besar bagi tujuan pertanian, maka pembangunan pemuliharaan kayu balak barulah dilihat sebagai industri serius di Malaysia.

Hasilnya, kayu balak tempatan daripada spesies kayu keras sederhana dan ringan mendapat pengiktirafan yang luar biasa di pasaran dunia.

Spesies Dipterocarp seperti meranti, keruing dan kapur turut mendapat populariti mendadak dan sejak itu mendominasi sektor balak negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai industri pembalakan negara dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), kunjungi laman web www.mtib.gov.my atau hubungi 03-92822235.

****

DIANGGARKAN terdapat lebih 3,000 spesies kayu tempatan di negara ini. Bagaimanapun hanya 100 spesies digunakan secara komersial antaranya kapur, keruing, balau, meranti, kelumpang, kembang semangkuk, ketapang, kandis, merbau dan banyak lagi.

Kayu balak tempatan diklasifikasi mengikut empat kategori iaitu Heavy Hardwood (HHW), Medium Hardwood (MHW), Light Hardwood (LHW) dan Softwood (SW).

Klasifikasi bagi ketiga-tiga kategori kayu keras (hardwood) dibuat berdasarkan ketumpatan purata pada 15 peratus isipadu kelembapan.

Sementara kumpulan kekuatan kayu juga dibahagikan kepada empat A,B,C dan D mengikut kekuatan tekanan selari dengan ira kayu (N/mm²).

MTIB juga mengukur ketahanan semula jadi teras kayu mengikut tempoh usia spesies iaitu;

* Sangat tahan lama - lebih 10 tahun

* Tahan lama - 5 hingga 10 tahun

* Agak tahan - 2 hingga 5 tahun

* Tidak tahan lama - 2 tahun ke bawah sahaja

Tahukah anda bagaimana untuk mengenali jenis-jenis spesies kayu berbeza dan jenis produk yang sesuai dihasilkan mengikut tahap kualiti serta ketahanan sesuatu spesis?

Contohnya, kayu keras padu (HHW) seperti balau atau balau merah dengan ketumpatan antara 800 hingga 1,155 kg/m³ sangat tahan lama tetapi sukar dirawat disebabkan ciri-ciri tersebut.

Spesies ini sesuai digunakan dalam pembinaan berat seperti jambatan, dermaga, landasan, cerucuk, menara pemancar, tiang sokongan, rangka bot, lori, trak, pintu, tingkap, lantai dan perabot tahan lasak.

Begitu juga jenis HHW lain termasuk belian, chengal, kekatong, keranji, merbau, penaga, resak dan tembusu.

MHW iaitu derum, teruntum, entapuloh, kasai dan kapur digunakan untuk pelbagai tujuan selain binaan tahan lasak seperti pemegang alat, palet, kotak, kemasan dalaman dan papan lapis.

Kategori LHW terdiri daripada seperti ara, berangan, binuang, dedali, ketapang, meranti bakau dan nyatoh.

Sifatnya yang kurang tahan lasak berbanding jenis MHW dan HHW membuatkannya lebih sesuai dijadikan lantai parket, dek, kabinet, pembahagi ruang, siling, permukaan kaunter dapur dan kemasan dekoratif.

Agak sukar didapati, kayu dari luar negara menjadi pilihan ramai walaupun lebih sukar dibentuk kerana berisi padu lebih berat dan mampat berbanding kebanyakan spesies.

Antaranya sentang atau mahogani dari Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan yang lazim digunakan dalam binaan rumah, perabot mewah, panel dan pintu.

Jati Burma atau Burmese teak juga menjadi pilihan ramai termasuk rakyat tempatan sendiri yang mendapatkannya dari Indonesia disebabkan harganya yang kompetitif.

Lain-lain jenis kayu import termasuk walnut yang diakui segelintir pengeluar perabot sebagai bahan kemasan bernilai bagi perabot, panel berukir dan venier. Boleh ditemui di utara, tengah dan selatan AS, Eropah dan barat daya Asia.

Kayu oak pula dahulunya menjadi asas binaan kediaman dan kapal dagang British. Hari ini ia menjadi pilihan utama untuk rangka sambungan, panel, lantai, pintu dan pagar serta boleh didapati dalam pelbagai warna daripada kuning lembut sehinggalah kuning kemerahan.

Salah satu spesies kayu berbau wangi, berwarna gelap dan berira halus iaitu kayu rosewood pula merupakan eksport utama Amerika Selatan dan barat, tengah serta selatan India.

Rosewood juga amat digemari kerana mempunyai permukaan menyerupai jubin dan menaikkan seri kediaman terutama selepas digilap.

Tuesday, November 10, 2009

Nurseri Sungai Buloh



Perjalanan pulang dari majlis nikah di Ipoh pada 11 Oktober 2009 (dah sebulan rupa2nya) , sempat melencong susur keluar Sungai Buloh...apa lagi?

Sejak dari Ipoh Lela dah hint kat Pilot untuk singgah cuci mata, sambil membeli barang 10 keping rumput spesis philipine yang mati diratah anai-anai. Bila bertanya kat mak mertua sama ada ok untuk singgah atau tidak...sempoi ajer..."Ehh...mak tak kisah. Kesian kat Azan yang penat drive..." berlapik ayat mak mertua den. Menantu popular dik! Ahaks!

Perlahan aku menyusuri laluan melepasi Hospital Sungai Buloh di sebelah kanan. Pusat Kusta Negara di kiri jalan. Kelihatan nurseri pertama di pintu masuk Kolej Kejururawatan Sg. Buloh membuat Lela dah tak senang duduk...huyyo! Anak-anak mula tersedar dari lena. Itulah lokasi regular aku membeli rumput dan batuan.

Ke depan 500 meter, menanti satu lagi nurseri di kanan. Tak cukup menarik dan slowly masuk simpang kiri dan 'syurga' nurseri menanti kami!

Ek eleh...ada juga penjual durian dan rambutan! Abaikan.

Deretan nurseri. Tak tahu nak kata apa, sebut lah apa jenis lanskap dan spesis tanaman bunga, palma, rumput, pasu termasuklah aksesori seperti batuan, rail-sleeper tiruan, water pump dan baja. Eh! Tempurung kelapa dan sabut pun dijual. He he he...mak mertua aku cool duduk dalam Naza Ria, mengawal 'keadaan'.

Nasib baik dah takde space dalam kabin, kalau tidak ada dua tiga pasu pasti 'terselit'. Ini mengingatkan aku masa bercuti ke Cameron Highlands Mac 2007. Iklim sederhana lembab sesuai bertanaman lavender, lily, orkid hidup subur. Pun begitu 2-3-4 pasu dibawa pulang juga

Lela membuat rayuan atau lebih tepat 'cadangan' ..."Buatkan rumah orkid satu, saya rasa nak mula tanamlah."

Terfikir sejenak, lokasi untuk rumah orkid bersaiz 6' x 6' masih ada - di sebelah buaian tepi garaj kereta. Redup dan dalam zon lanskap & santai. Tapi kurang strategik Cik Ayang pasal bersebelahan kawasan hutan paya tu... Favourite spot geng monyet dan kera. Nanti habis dilatam, punah ibarat 'Monyet diberi bunga'. Ada betulka?

Saya suka idea tu. Ok, boleh masuk dalam "Budget Challenge for 2010".

Teringat, 20 tahun lalu rumah Atuk menduduki tempat ketiga dalam Pertandingan Kecantikan Rumah Negeri Melaka. Sentuhan Mak Lang dan ehem ehem...dapatlah hadiah sepasu pohon 'tak ingat nama'. uhuk uhuk uhuk...dah tua dik!

Kredit Imej : www.cs.ucdavis.edu

Monday, November 9, 2009

Kayu vs Batu



Semalam, ke Sungai Mati Muar untuk menemui pelanggan sekitar jam 3 petang. Dari rumah memasuki lebuh AMJ dan susur kiri keluar Parit Perawas, Sungai Rambai. Melewati kawasan kampung dan ladang sawit sebelum melintasi jambatan penyambung sempadan Melaka - Johor di Sungai Kesang. Terbentang sawah yang menghijau dan sebahagian masih bertakung air penanda awal musim menanam benih padi.

Mudah dan selesai berurusan kira-kira 30 minit kemudian beransur pulang. Perut belum terisi, jadi dalam perjalanan pulang ke Melaka saya cuba-cuba mencari gerai tepi jalan berjualan santapan ringan dan basahan tekak. Ada satu gerai saya spotted untuk disinggah ketika dalam perjalanan pulang betul-betul ditepi tali air berhadapan sawah - Kampung Kesang Tasek namanya.

Tiada banyak pilihan dan terus memilih laksa dan air limau segelas. Sementara laksa disediakan, saya capai balang plastik berisi kerepek goreng rupa muruku adunan tepung beras. Makanan orang Jawa mungkin. Rangup dan sedap dimakan begitu sahaja walaupun sipenjual mempelawa pencicah sambal dan sos.

Disebelah meja ada seorang pelanggan sekitar umur 50 an' yang sedang melayan berbual dengan sepasang pengunjung di meja hujung. Rancak dari topik motor klasik jenama Honda 50cc tahun 50 an', skuter, kereta Mini dan Fiat 500 . Selit cerita moyangnya jual kereta pada harga RM50 sekitar tahun 60 an kereta Mini model pertama; bertukar topik minatnya sehinggakan ke Bagan Dato Perak bagi mencari kereta Mini namun enggan dijual kerana besar kegunaan termasuk mengangkut hasil kelapa.

Kawan yang 'beregu' cuma angguk-angguk kepala, tekun mendengar sambil menambah-nambah 'perisa'. Hi hi hi...suasana kampung, apa lagi nak dibuat dihujung minggu sambil lepak-lepak, berbual kosong. Modal secawan dua air dan rokok dua tiga batang.

Tiba-tiba berpindah topik pembinaan rumah dari bahan kayu cukup menarik minat aku yang leka layan "blues tepi sawah".

Terdengar cerita kenalan pemain 'single' itu membeli rumah kayu di Terengganu pada modal RM3 ribu. Tanggalkan dan bawa pindah ke pekan Sungai Rambai di sebelah Mini Market dan dipasang semula dengan penambahan. Sedang rancak disiapkan dan menjadi focal point atau landmark di pekan koboi tersebut.

Katanya kayu jenis Belian adalah yang terbaik mengalahkan Chengal dalam membina rumah kayu. Sebuah rumah milik seorang pemimpin kampung di Bagan Dato berasaskan kayu Belian termasuk atapnya. Bahan kayu diperoleh dari Semarang Jawa Tengah, berkapal-kapal dengarnya.

Tuan punya gerai 'tumpang semangkuk' mengakui kekuatan kayu Belian yang menjadi pilihan masyarakat Pribumi Sawarak membina rumah panjang - disaksikan ketika bertugas di sana. Mungkin pesara anggota keselamatan melihat susuk tubuh tegap dan wajah serius.

Satu ketika dulu, kata orang kalau rumah dibina berasas batu bata terus dirujuk sebagai "orang kaya" namun tidak lagi sekarang. Hendak dibina rumah banglo berasaskan kayu kayan pada hari ini, memerlukan bajet besar. Bahan satu hal, kerja tukang pun perlu ambilkira. Kerja halus dan paling tak tahan penjagaan. Cuaca Tropika mencabar ketahanan binaan. Mementingkan nilai estetika.

Pergh!!! Dah macam ulasan majalah dekorasi.

Sesi 'Hujah' terhenti apabila pasukan bergu memohon beransur diri. Ingatkan dah habis, bersambung pula sesi 'Penggulungan' antara pemain single dan tuan punya gerai. Masih lagi topik rumah kayu vs rumah batu!

Ha ha ha...sebelum aku menjadi 4th debater, segera aku panggil tuan punya gerai dan RM4.50 bertukar tangan. Kalau tidak, entah-entah jam berapa aku boleh mengangkat punggung...

Kredit Imej : sabahforest - pokok tualang.

Monday, November 2, 2009

Pergi Tak Kembali

Ahad, pagi 1 Nov 2009 sibuk mengemas di luar rumah usai majlis persandingan adik lelaki isteri hari Sabtu, 31 Oct. Sekitar jam 10.30 pagi, Lela melaung dari dalam ada panggilan telefon dari Mak Jah. Jawab salam dan cemas saja suara mak.

"Atuk pengsan kat R&R Ayer Keroh, dari KL ke Melaka. Dengan Busu. Tapi tak dapat cerita sebenar, line pun susah masuk. Azan cuba call Busu, tanya-tanyakan apa yang boleh tolong."

"Okey mak." Ringkas jawapan aku sambil mencari nombor telefon Busu. Dah jumpa, terus dail. Line tak masuk, berkali-kali aku cuba. Tak tenang hati aku dibuatnya!

Aku teruskan mengemas. Sambil memasang telinga, menanti panggilan masuk.

Sejam kemudian, Along pulak telefon.

"Dik, kau tahu tak pasal atuk?"

"Tahu, mak cakap atuk pengsan kat R&R Ayer Keroh."

"Itu tadi, dan sekarang, atuk dah meninggal...Kita dah takde Atuk, Dik...!"perlahan, sebak dan sayu suara Along.

Ya Allah! Innalillah wainnalillahhirajiun.

Along mintak aku bantu siapkan rumah atuk kat Jambatan Duyong, menunggu ketibaan jenazah dan seluruh keluarga yang semuanya berada di Kelana Jaya sejak Jumaat lepas.

Aku menyudahkan kerja dan segera menuju ke rumah Atuk.

************************************************************************************

Atuk, Ja'afar bin Abu Bakar dilahirkan pada 3 September 1926. Anak lelaki sulung dari 7 beradik dibesarkan di Muar dari kalangan keluarga susah, walaupun berlatarbelakang dari keluarga Penghulu Mamat yang terkenal di sana.

Maju di alam sekolah rendah sehingga satu ketika diminta mengajar Ilmu Hisab yang jarang dikuasai anak melayu. Mendaki zaman remaja dengan membantu saudara mara berniaga di Pekan Muar dan berulang alik dari Melaka hanya berbasikal.

Mendirikan rumahtangga dengan Che Pah bte Mahadi hujung 1940'an hasil aturan keluarga. Seusia muda itu, beliau telah menyertai anak-anak muda Melaka merantau ke Singapura untuk mencari rezeki. Kelasi kapal dagang pilihan kerjaya anak-anak muda ketika tu.

Berlayarlah 'sang kuli' dilambung hempas ombak lautan. Ketika rakan lain tidur lena di waktu malam, beliau mentelaah matapelajaran untuk menduduki ujian demi ujian. Ilmu perkapalan diterokai, ilmu kedudukan bintang, pasang surut lautan dan 1001 ilmu diceduk.

Afrika Selatan, Hong Kong, London, Cairo, Terusan Suez, Sydney. Sebut sahaja lokasi persinggahan. Di pelabuhan, rakan kelasi mendarat namun beliau selesa di atas kapal. Mencari rezeki sambil berniaga. Burung kakaktua pun pernah dijualbeli. Beli $100 jual semula di lokasi lain berganda harga. Kata seorang taukeh Cina, "Lu kapal boleh bawak. Tapi bila pencen nanti, belum tentu lu boleh bawak motor atau kereta."

Chief Officer, Captain Jaafar Abu Bakar. Itulah pangkat atuk sehinggalah bersara pada 1977 dan terus menetap di Melaka. Masih segar diingatan sesekali Atuk pulang bercuti, beliau dihantar dari Singapura menaiki kereta Jaguar milik majikan.

1978 Atuk ke Mekah bersama Che Pah (menaiki pesawat) namun ujian besar menimpa jemaah ketika itu bilamana Gerakan Revolusi bersenjata api menawan Masjidil Haram diwaktu Asar dan beliau antara yang terperangkap berjam-jam di dalam masjid. Berjaya menyelamatkan diri dan sejurus itu terus dihantar pulang sehelai sepinggang. Jemaah yang lain tertanya-tanya, macamana Haji Jaafar boleh terselamat? Atuk jawab sempoi..., "Allah telah selamatkan aku."

Berkebun di Ayer Tawar (25km) dengan menanam koko, durian, duku dan rambutan setelah bersara. Setiap hari ke sana menaiki bas. Hujung minggu dan cuti sekolah, abah dan kami (Along dan aku) datang membantu mengangkat baja, anak benih, menyiram pokok dan kutip buah kelapa.

Paling best main kejar-kejar dengan along dalam kebun. Terlanggar anak pokok, patah pulak dahannya dan kami pula kena kejar dengan atuk. Setakat dikejar dengan parang dan cangkul, itu dah kira 'ringan'. Makan ala kadar berkongsi dengan Atuk. Atuk kalau geram, dijegilnya mata bulat-bulat.

Cerita susah, berdikari, keazaman untuk membaiki kehidupan keluarga selalu Atuk 'dendangkan'. Kadang-kadang cerita yang sama kami dengar. Bukak aje cerita pengalaman berlayar, kami dah tahu 'skripnya'. Itu lah Atuk.

Sepanjang tahun ini, berkali-kali Atuk mintak Mak dan Pak Lang call aku untuk datang berjumpa. Rutin aku sibuk dihujung minggu. Tapi aku kena curi masa juga dalam sibuk. 5 minit atau 10 minit cukuplah, kata Mak. Sementara hayat dia ada, kata Mak lagi.

Sehingga saat-saat bulan akhir hayatnya, masih mendendangkan 'melodi' yang sama. Tapi ketika itu aku mula rasakan yang cerita itu tiada siapa yang dapat ulangkan semula, melainkan Atuk sendiri. Aku cuma tekun mendengar dan melayan sambil tersenyum bila Atuk sendiri terketawa tanpa gigi digusi. Atuk kuat ingatan walaupun diusia lewat 80 an. Kadang-kadang hampir satu jam mendengar dia berceloteh. Dari satu ke satu topik.

Satu hari aku mula terasa lain bila sedang aku duduk melayan blues, Atuk berjalan menghampiri dan bertanya pada aku, "Kau siapa?" Segera aku perkenal diri dan atuk terus cakap mungkin berhelah, "Mata aku dah tak berapa nampak...Zan...! Tapi yang best, sejurus itu berkongsi juga sebabak dua kisah silam.

Ramadhan tahun ini, Atuk tak mampu untuk berpuasa. Awal September 2009, Atuk dirawat di Hospital Besar, Melaka. Kata Atuk, tak seperti tahun-tahun lalu bilamana beliau mampu khatam Quran dua kali sepanjang Ramadhan. Sunat terawikh dan witir tak tinggal. Solat tahajjud pun sama. "Aku dah nak mati Zan..." tapi segera aku sangkal cakap Atuk.

Ulangtahun kelahiran ke 86 Atuk masih di hospital. Dua hari berikutnya, Atuk dibenarkan keluar dan Mak minta aku mengendali segala urusan. Bil, Farmasi dan surat rawatan susulan. Dalam sibuk-sibuk nak kendali majlis adik Lela, majlis berbuka puasa Ria Family aku berlari-lari curi masa. Sempat juga Atuk pesan pada aku, jangan lupa wang RM200 yang diberi sebulan lalu untuk ditukar kepada not RM1 sebagai duit raya kepada tetamu menjelang malam takbir hari raya nanti.

Kata Atuk, dia redha jika Allah ambil nyawanya setelah cucunya, Abdul Majid Firdaus bin Ibrahim selamat diijab qabul. Perkara yang sama diulang ketika aku dan Azri menyarung pakaian Atuk di malam bersejarah Jumaat, 24 Oktober 2009. "Aku rasa sihat pulak malam ini...Zan" kata Atuk.

Sejurus tamat majlis nikah, Atuk memeluk Firdaus yang tinggi lampai dan terus menadahtangan dan berdoa. Jurukamera tak henti-henti merakam saat-saat itu. Aku sebak sambil menanti untuk memapah semula Atuk sebelum diletak atas kerusi roda.

*************************************************************************************

Sekujur jenazah yang telah siap dimandi dan dikafankan. Bilal Haji Mahad menjemput anak menantu dan cucu untuk membuat penghormatan terakhir. Aku papah Nenek We hampir ke jenazah dan duduk atas kerusi plastik, namun hanya mampu memandang dengan sayu. Sukar diselami perasan Nenek We yang telah berkongsi hidup lebih 60 tahun.

Tiba giliran aku. Aku beri salam pada jenazah Atuk dan dikucup dahi, pipi kanan, kiri dan akhirnya didagunya. Aku tahu, inilah yang terakhir aku dapat tatap wajah Atuk di alam dunia ini. Segera ditutup wajah jenazah dan keranda usungan sedia dibawa masuk dari luar. Terdahulu aku meminta Anjang batalkan tempahan Van Jenazah untuk ke tanah perkuburan. Kata aku, ini peluang akhir anak cucu dan saudara sekampung beri perhormatan.

Seperti anak-anak, menantu dan cucu-cucu yang lain cukup merasai pemergian Atuk. Dalam redha, Al Fatihah untuk Haji Jaafar bin ABu Bakar (1926-2009). Semoga Allah meletakkan roh Atuk dikalangan orang-orang yang terpilih dan beriman.