Baru berkarya pasal kayu balak dua hari lepas, hari ini keluar satu artikel utama sisipan Mega Utusan Malaysia hari ini bertajuk : Kayu Tempatan Diiktiraf Dunia.
he he he...aku tak de kena mengena dalam itu cerita. Kebetulan aje, cuma nak petik dua artikel berikut.
****
AWAL kurun ke-18, pokok jenis kayu keras (hardwood) seperti cengal, merbau dan resak merupakan bahan-bahan binaan yang boleh dikatakan popular di kalangan komuniti pembalak British.
Bahkan, United Kingdom (UK) yang baru sahaja menceburi industri perhutanan Malaya (ketika itu) telah mengiktiraf ciri-ciri komersial pada hasil hutan Semenanjung negara menerusi jurnal Commercial Woods of The Malay Peninsula - Malayan Forest Records, No. 1” cetakan tahun 1921.
Bagaimana pada tahun 1960-an, apabila berlakunya penukaran tanah berskala besar bagi tujuan pertanian, maka pembangunan pemuliharaan kayu balak barulah dilihat sebagai industri serius di Malaysia.
Hasilnya, kayu balak tempatan daripada spesies kayu keras sederhana dan ringan mendapat pengiktirafan yang luar biasa di pasaran dunia.
Spesies Dipterocarp seperti meranti, keruing dan kapur turut mendapat populariti mendadak dan sejak itu mendominasi sektor balak negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai industri pembalakan negara dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), kunjungi laman web www.mtib.gov.my atau hubungi 03-92822235.
****
DIANGGARKAN terdapat lebih 3,000 spesies kayu tempatan di negara ini. Bagaimanapun hanya 100 spesies digunakan secara komersial antaranya kapur, keruing, balau, meranti, kelumpang, kembang semangkuk, ketapang, kandis, merbau dan banyak lagi.
Kayu balak tempatan diklasifikasi mengikut empat kategori iaitu Heavy Hardwood (HHW), Medium Hardwood (MHW), Light Hardwood (LHW) dan Softwood (SW).
Klasifikasi bagi ketiga-tiga kategori kayu keras (hardwood) dibuat berdasarkan ketumpatan purata pada 15 peratus isipadu kelembapan.
Sementara kumpulan kekuatan kayu juga dibahagikan kepada empat A,B,C dan D mengikut kekuatan tekanan selari dengan ira kayu (N/mm²).
MTIB juga mengukur ketahanan semula jadi teras kayu mengikut tempoh usia spesies iaitu;
* Sangat tahan lama - lebih 10 tahun
* Tahan lama - 5 hingga 10 tahun
* Agak tahan - 2 hingga 5 tahun
* Tidak tahan lama - 2 tahun ke bawah sahaja
Tahukah anda bagaimana untuk mengenali jenis-jenis spesies kayu berbeza dan jenis produk yang sesuai dihasilkan mengikut tahap kualiti serta ketahanan sesuatu spesis?
Contohnya, kayu keras padu (HHW) seperti balau atau balau merah dengan ketumpatan antara 800 hingga 1,155 kg/m³ sangat tahan lama tetapi sukar dirawat disebabkan ciri-ciri tersebut.
Spesies ini sesuai digunakan dalam pembinaan berat seperti jambatan, dermaga, landasan, cerucuk, menara pemancar, tiang sokongan, rangka bot, lori, trak, pintu, tingkap, lantai dan perabot tahan lasak.
Begitu juga jenis HHW lain termasuk belian, chengal, kekatong, keranji, merbau, penaga, resak dan tembusu.
MHW iaitu derum, teruntum, entapuloh, kasai dan kapur digunakan untuk pelbagai tujuan selain binaan tahan lasak seperti pemegang alat, palet, kotak, kemasan dalaman dan papan lapis.
Kategori LHW terdiri daripada seperti ara, berangan, binuang, dedali, ketapang, meranti bakau dan nyatoh.
Sifatnya yang kurang tahan lasak berbanding jenis MHW dan HHW membuatkannya lebih sesuai dijadikan lantai parket, dek, kabinet, pembahagi ruang, siling, permukaan kaunter dapur dan kemasan dekoratif.
Agak sukar didapati, kayu dari luar negara menjadi pilihan ramai walaupun lebih sukar dibentuk kerana berisi padu lebih berat dan mampat berbanding kebanyakan spesies.
Antaranya sentang atau mahogani dari Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan yang lazim digunakan dalam binaan rumah, perabot mewah, panel dan pintu.
Jati Burma atau Burmese teak juga menjadi pilihan ramai termasuk rakyat tempatan sendiri yang mendapatkannya dari Indonesia disebabkan harganya yang kompetitif.
Lain-lain jenis kayu import termasuk walnut yang diakui segelintir pengeluar perabot sebagai bahan kemasan bernilai bagi perabot, panel berukir dan venier. Boleh ditemui di utara, tengah dan selatan AS, Eropah dan barat daya Asia.
Kayu oak pula dahulunya menjadi asas binaan kediaman dan kapal dagang British. Hari ini ia menjadi pilihan utama untuk rangka sambungan, panel, lantai, pintu dan pagar serta boleh didapati dalam pelbagai warna daripada kuning lembut sehinggalah kuning kemerahan.
Salah satu spesies kayu berbau wangi, berwarna gelap dan berira halus iaitu kayu rosewood pula merupakan eksport utama Amerika Selatan dan barat, tengah serta selatan India.
Rosewood juga amat digemari kerana mempunyai permukaan menyerupai jubin dan menaikkan seri kediaman terutama selepas digilap.