RUANG tamu merupakan satu tempat yang paling penting bagi sesebuah rumah. Ia menjadi satu ruang di mana seisi rumah berehat dan bersantai setelah sehari suntuk bekerja atau berada di luar.
Ruang tamu juga menjadi tempat yang dituju apabila tetamu datang berkunjung ke rumah. Pendek kata ruang tamu memainkan peranan yang amat bererti bagi sesebuah kediaman.
Sebab itu bagi setiap projek perumahan, pasti ada disediakan ruang tamu tidak kira sama ada rumah tersebut apartmen, rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat, kondominium, banglo dan sebagainya. Pendek kata baik rumah kecil atau rumah besar, pasti ada ruang tamunya.
Dalam cara menata hias ruang tamu, mesti ada peraturan yang harus diikuti agar ruang tamu nampak dan berasa selesa bagi pemilik rumah atau tetamu.
Bertemu dengan Pengarah Urusan Impiana Dagang, sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja hiasan dalaman, luaran, grafik, kraf, perabot, soft furnishing dan sebagainya, Zarina Noor Mohamed Al-Haj, banyak panduan yang diberikan bagi menghias ruang tamu rumah.
Kata pakar hiasan dalaman ini, ketika menghias atau mengisi perabot di ruang tamu, ia mestilah bersesuaian dengan saiz ruang itu sendiri.
''Perabot untuk ruang tamu mestilah padan dengan keluasan ruang itu sendiri. Jika ruang tamu kecil seperti rumah pangsa atau rumah teres kos rendah, sofa yang dipilih juga mestilah kecil.
''Pastikan juga jarak di antara satu sofa atau kerusi tidak terlalu jauh kerana kita tidak mahu orang yang berbual di sini menjerit-jerit di antara satu sama lain apabila bercakap.
''Ruang tamu juga akan lebih berseri dan nampak hidup jika terdapat satu atau dua pokok hidup.
"Jangan letak pokok plastik kerana ia akan membuatkan ruang tamu nampak kaku. Kalau tidak ada pun pokok hidup, sejambak bunga hidup pun sudah memadai,'' kata Zarina yang ditemui di pejabatnya di Taman Zoo View, Ulu Kelang, Selangor.
Beliau menambah, bagi menyegarkan ruang tamu, letakkan semangkuk pot-pouri atau nyalakan lilin wangi yang diletak di dalam mangkuk air.
Zarina mengingatkan agar pemilik rumah jangan mengabaikan ruang tamu kerana setiap tetamu yang datang ke rumah akan dibawa ke ruang tamu.
''Adalah lebih baik jika ruang tamu tidak diletakkan televisyen kerana akan mengganggu perbualan lebih-lebih lagi jika suara televisyen terlalu kuat. Sebaik-baiknya letakkan televisyen atau radio di bilik lain. Bagaimanapun jika terpaksa kerana tidak ada ruang lain maka terpaksalah juga meletakkan televisyen di ruang tamu.
''Penyusunan perabot bergantung pada pemilik rumah sendiri. Walau apa pun pilihan anda sama ada Bali tropika, antik, moden, zen, kontemporari atau retro, pastikan jangan terlalu padat kerana lebih ringkas adalah lebih baik.
''Sesetengah orang sukakan gaya tropikal, jadi hiasan dalaman tersebut mestilah ada kayu, sofa, permaidani, buluh dan hiasan dinding daripada kain pua,'' ujarnya lagi.
Beliau berkata, bagi ruang yang sempit, warna dinding mestilah terang kerana warna gelap akan menampakkan ruang menjadi sempit. Pilih warna-warna lembut seperti putih, kuning air dan krim. Dinding yang dicat dengan warna putih atau warna lembut mudah disesuaikan dengan apa sahaja warna sofa atau bingkai gambar.
Pun demikian, tambahnya, rumah yang mempunyai banyak sudut atau berbelok-belok boleh dicat dengan warna berbeza pada setiap sudut.
''Ada juga yang inginkan kelainan dengan melekatkan kertas dinding. Bagaimanapun rumah yang banyak barang tidak sesuai menggunakan kertas dinding kerana rumah akan nampak lebih berserabut.
''Rumah yang tak banyak perabot boleh menggunakan kertas dinding tetapi jangan semua dinding diletakkan kertas dinding. Letak pada satu bahagian sahaja,'' jelas Zarina. - MERAN ABU BAKAR : [MEGA] Utusan Malaysia 19 Okt 2009.