Monday, October 12, 2009

Kenangan lagi



Jumaat 9 Oktober, kami sekeluarga serombongan 4 kereta ke Ipoh untuk majlis nikah dan sanding adik Lela di Kampung Sri Kledang Tambahan 2 Chepor, Chemor. Perjalanan terancang dari Melaka jam 10.45 pagi dan berehat hampir 1 jam di Hentian Sungai Buluh sekitar 12.30 tengahari untuk solat Zuhur dan mengalas perut.

Konvoi berkumpul di Hentian Simpang Pulai sekitar 3.45 petang dan terus aku ketuai untuk menuju rumah inap di Kampung Dato Ahmad Said 1, Gugusan Manjoi. Rumah banglo selesa, keluasan tempat letak kereta usah risau cuma jalan masuk agak mengelirukan, pertama kali mungkin boleh sesat.

Tepat jam 9.17 malam, dengan dua kali lafaz Sazali Ghauth kini menjadi suami Nur Hafiza Shariffudin. Alhamdulillah. Berjabat tangan dengan Tuan Kadhi, sempat aku ucap "Terima kasih kerana telah menghalalkan yang haram." Berkerut sekejap Kadhi usia muda dan segera senyum sambil berkata "Dah itu keroje teman..." dalam dialek Parit pekat.

Aku tak boleh dengar orang Perak bersembang, nanti masuk 'jarum' takut terleka.

Ipoh bukanlah asing, 5 tahun yop! Budak STAR Ipoh dari 1987 hingga 1991. Bantuan GPS Garmin dan peta Malsingmap versi Okt 2008, masih perlu ditagih sebagai back-up. Kesempatan yang hampir tiada, menjengah sambil lalu di hadapan sekolah sekitar jam 6.30 petang. Membesar dan membina kedewasaan dengan kawan-kawan sekolah.

Isteriku juga hampir serupa di Sekolah Sains Muzaffar Shah, Ayer Keroh. Sebatang rokok tak habis jaraknya dari rumah. Dah tu, setiap minggu balik rumah...oh bahagianya...

Kalau dikenang nostalgia di STAR, tak cukup satu blog nak menulis. Seawal form one aku bertumbuk dengan seorang kawan dan cuma tahu dia ada pertalian keluarga setelah tamat tingkatan lima. Cerita malam tidur dan bangun tiba-tiba mendengar bunyi kasut boot berkawat tak pernah aku kongsi dengan kawan seasrama.

Pakcik dewan makan panggil aku dengan nama "Jebat" pasal aku selalu makan bersama kawan bernama Mohd Kasturi Salyutma bin Mamat. Kini kawan tu menjadi doktor pakar di Manchester, UK. Siap boleh bukak restoren makanan Malaysia kat sana. Nickname kat asrama dah jadi lain, sempena mengambil nama tempat yang berhampiran kampung Duyong iaitu Semabuk.

Dah budak STAR semua panggil aku nama "Mabok"...sampai hari ini!


Kredit Imej : koleksi pak syed.

No comments:

Post a Comment