Wednesday, October 21, 2009

Artikel Merawat Buluh

Minggu lalu, ada pos berhubung idea nakal nak membina wakaf dari bahan buluh. Tup tap, hari ini dalam sisipan Mega Utusan Malaysia, ada artikel berhubung industri buluh. Macam ada chemistry aje dengan pihak Utusan...Jom baca sikit!

Formula merawat buluh


SEBAIKNYA negara yang beriklim khatulistiwa seperti Malaysia ini memanfaatkan perabot yang diperbuat daripada buluh kerana sifatnya yang menyejukkan kediaman.

"Buluh dikatakan sejuk kerana sifat semula jadi kayunya yang mempunyai liang serta berbentuk tabung serta berongga.

"Ciri ini membolehkan udara dingin yang disimpan pada malam hari dibebaskan menjelang siang sekali gus mengubah suasana kediaman menjadi sejuk dan nyaman.

"Sebaliknya, pada malam hari, kediaman tidak akan terlalu sejuk kerana hawa panas yang disimpan sejak siang dibebaskan," katanya Ketua Pegawai Eksekutif Istana Buluh Sdn. Bhd., Mior Shariman Mohsin yang tidak jemu-jemu membuat kajian terhadap tumbuhan dari jenis sayur-sayuran ini.

Menerusi kajian yang dilakukan, Mior Shariman menemukan formula bagi mendapatkan buluh yang berkualiti.

"Sebelum buluh dibuat perabot, ia perlu diawet terlebih dulu bagi menghindari masalah bubuk, kulat dan cendawan. Tiga langkah pengawetan dikenal pasti termasuk merendam kayu itu selama sebulan dalam air biasa sebelum disambung dua minggu lagi di dalam lumpur lalu dijemur hingga kering.

"Itu cara tradisional, manakala kaedah moden pula menuntut penggunaan bahan kimia tertentu. Tempoh selama sebulan diperlukan sebelum buluh sesuai dibentuk sebagai perabot.

"Bahan kimia boraks menghasilkan perabot buluh berwarna gelap manakala borik menjadikannya berwarna putih," jelasnya.

Kesesuaian buluh sebagai perabot terserlah menerusi aspek ketahanannya yang berciri tahan lasak berbanding kayu getah dan jati, lebih-lebih lagi jika usia perabot berkenaan melangkaui 50 tahun. Bagaimanapun kata Mior Shariman, tidak semua buluh boleh dijadikan perabot, sebaliknya ia perlu menjalani proses pemilihan dan saringan ketat.

"Buluh bermutu dijadikan perabot berusia dalam lingkungan empat hingga lima tahun. Empat tahun dikira matang dan layak ditebang. Jangan tunggu sehingga lima tahun untuk membentuk perabot kerana yang dihasilkan mudah pecah dan merekah.

"Bagi berusia bawah empat tahun, buluh boleh mengecut dan tidak sesuai dibuat perabot," jelasnya lagi.

Demi menambah elemen menarik dan praktikal pada perabot buluh rekaan syarikatnya, Mior Shariman menambah bahan tambahan seperti besi, kaca semuanya untuk menambah seri dan kesesuaian fungsi perabot keluarannya. Turut berbangga kerana pasaran luar negara seperti Perancis telah membuka mata dan berminat untuk mengembangkan pasaran perabot buluh.

"Kami kini sedang melakukan penanaman spesies buluh hitam dan berkualiti yang biasa ditemui di Myanmar untuk diusahakan di sini. Pada masa sama, syarikat juga berminat mengelolakan bengkel membuat perabot berkenaan bagi usahawan berpotensi selain membuka peluang serta khidmat nasihat pelaburan bagi peniaga yang berminat menceburi industri ini," katanya.

Artikel dan Imej Sisipan Mega : Utusan Malaysia 21 Okt 2009.



No comments:

Post a Comment