Wednesday, October 7, 2009

Wakaf


Reka letak pelan lantai Casa Bonda, seolah-olah ada chemistry dengan impian kami. Susunan dinding termasuk ukurannya cukup sesuai dengan apa yang ingin kami rancang.

Di sebelah luar bilik Atuk (no. 2), telah kami letak buaian besi yang dibawa pindah dari rumah lama. Di sebelah luar bilik no.1, untuk Along dan Angah telah kami rancang membina wakaf untuk aktiviti santai keluarga yang lengkap bekalan air dan elektrik, kipas siling serta talian jalur lebar tanpa wayar. Fuh! Dah macam resort kat Pulau Duyong...

Cerita-cerita jugak, tapi biar realistik. Bajet le tu...sabau...!

Wakaf struktur kayu sepenuhnya yang diinginkan adalah bersaiz 10' x 10', berbumbung atap genting tanah liat (clay) dan lantai tanpa pagar. Senang cerita, ala-ala wakaf di Hentian Rehat Lebuhraya PLUS. Sebijik sebijon.

Teringat dulu di rumah arwah nenek Timah, ada sebuah wakaf yang kami panggil 'bangsal' disitulah arwah atuk minum kopi sambil cicah biskut tongkat lepas balik bertukang. Berjangkit pada saya dan kini Kak Long pun dah mula terikut-ikut minum kopi. Atasnya ada loteng, kadang-kadang nenek suruh panjat tengok-tengok ayam kampung yang mungkin dah bertelur.

Di bangsal juga budak-budak kecil bermain rebut tiang, ditepinya ada halaman untuk bermain galah panjang dan songkit ayam. Ada pokok kelapa rendang, atuk panjat dan turunkan kelapa muda, tebuk, minum dan belah dua untuk dimakan isinya bersudukan sabut muda. Ada sesekali atuk cabutkan ubi kayu, dan bakar. Makan panas-panas.

Cukup nostalgia. Anak-anak ku, ingin papa lakukan semula semua atas nama kenangan. Satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment