Monday, August 31, 2009

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Salam Merdeka!

Telah hampir 23 jam 45 minit hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 52.
Masih belum terlewat untuk mengucapkan Salam Merdeka kepada pengunjung blog Bina Rumah Impian. Syukur, semoga kemerdekaan yang dicapai barisan pejuang Tanah Melayu dapat dikekalkan oleh kita, generasi pasca merdeka. Sambutan sederhana, tetapi martabat tetap sama.

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Louvered Windows Part 1.


Dalam karya blog Bina Rumah Impian kali ini, saya akan berkongsi satu 'seni' dalam penentuan tetingkap rumah yang kita inginkan tapi pihak Home Minister kurang berkenan. Kena bentang logik, debat berdasarkan fakta dan akhirnya ... Sentuhan Listrik ku.

Louvered Windows. Itu bahasa omputeh...tak tahu pulak kalau namanya dalam bahasa kita. Tapi orang kampung saya panggil, tingkap Nako! Bila ditanya pada atuk saya, jawabnya ..."Entah, aku pun tak tahu!". Ha ha ha...!

Atuk - Hj. Jaafar Abu Bakar 'besday' pada hari Khamis ini, 3 Sept 2009. Dilahirkan pada tahun 1923, Kapten Kapal Kargo (Chief Officer) pencen pada 1978. Last salary withdrawn, RM6 ribu sebulan. Umak aiii...! Masih kuat ingatan, akhir-akhir ini kurang sihat atas faktor usia. Moga Atuk sihat kembali.

Saya memilih tetingkap kaca boleh laras, pertamanya kerana faktor keselamatan. Selamat? Tingkap jenis lain iaitu berdaun (material aluminium atau kayu) berbucu tajam di setiap penjuru. Kami ada 3 anak kecil. Alhamdulillah, ini belum kira anak-anak buah. Bucu tajam tingkap umpama 'jerat menunggu mangsa'. Kalau terkena, fuh!

Kedua, atas alasan privasi. Rasa kurang selesa kalau orang di luar boleh lihat penghuni dalam rumah? Tingkap Nako, dilaras pada dua peringkat. Bawah tutup, atas boleh bukak lagi. Berangin bro!

Kaca berpasir yang sinonim dengan tingkap Nako, memberi 'markah' tambahan. Kalau tingkap aluminium, lazimnya menggunakan tinted glass namun awas! Boleh nampak ke dalam terutama diwaktu malam. Dah nak berlangsir pulak.

Paling akhir, kerana syncronize dengan design rumah. Bentuk rumah kami, ada unsur-unsur kolonial. Tambah cantik, kalau dapat kaca tingkap warna hijau kebiruan. Jangan risau, boleh cari walaupun kuantiti yang banyak!

Sebelum tutup perdebatan, saya membuat ayat penggulungan. Bunyinya..."Takpe la, untuk bahagian lain dalam soal buat rumah ini, you buatlah pilihan. Tapi bab tingkap, bagilah saya peluang. Ok?." tanya saya sambil jari telunjuk kanan menekan suiz lampu kamar tidur kami.

"Okey, tapi lap tingkap nanti, awak yang buat..." jawap ringkas tapi cukup 'difahami'.

Kredit Imej : www.breezway.com

Wednesday, August 26, 2009

Bajet


Perancangan untuk Bina Rumah Idaman kami, bermula akhir tahun 2006. Masih ingat isteri saya mendesak (cara halus melalui anak-anak) pada ketika itu untuk mula membina. Eh! 1001 alasan saya berikan, rupanya ada hikmah disebalik 'keselambaan' selama ini. Pada awal 2008 tapak rumah tersebut rupa-rupanya telah tersenarai didalam Pelan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh, iaitu pengambilan untuk tambahan sekolah rendah sedia ada.

Tersenyum sinis saya seketika.

Ya betul, membina rumah adalah satu pelaburan yang dibuat sekali dalam seumur hidup bagi kebanyakkan orang. Soal untuk membuat yang terbaik, namun akhirnya 'tergelincir' kadang-kadang tidak dapat kita elakkan.

Ada dikalangan kita yang mampu, untuk melabur sehabisnya. Juga yang kurang mampu, binalah mengikut fasa kecil-kecilan dan membuat renovation apabila kedudukan kewangan mula 'pulih'. Sukar menjangka harga bahan mentah binaan menyebabkan mungkin apa yang diidamkan, secara rasional dipendamkan.

Apa yang penting, pastikan ada SIMPANAN pada akhir pembinaan untuk tujuan kecemasan peribadi.

Walaupun rumah siap dibina, ada lagi perbelanjaan terutama aksesori dan kelengkapan misalnya. Mungkin Kontraktor anda telah menetapkan spesifikasi aksesori dan kelengkapan (jika termasuk dalam kontrak perjanjian). Anda boleh minta untuk upgrade (jika mampu) atau downgrade berseuaian bajet atau aliran tunai anda.

Saya memilih untuk upgrade (dengan tambahan bayaran) jenis cat dinding dalam dan luar, jenis dan saiz jubin lantai dan dinding. Untuk keselamatan, saya dapatkan set kunci rumah dan bilik yang lasak. Kelengkapan hood & hub di dapur, lampu, kipas termasuk penyaman udara, dibeli secara berperingkat.

Kabinet dapur, grill. Eh! Ada lagi...langsir dan rail, cangkuk & penyangkuk, kepala paip...ya...sanggup ke IKEA! IKEA menjadi tempat saya menceduk idea, ada saja kesempatan singgah makan di kafe cari kek DAIM. Nyum...nyum...nyum...(eh! puasa la..)

Alhamdulillah, tak semua barang baru. Ada yang dibeli sejak kami bujang lagi atau sejurus lepas mendiri rumahtangga. Senarai untuk membeli belum habis lagi, "Last one!" kata isteri saya. Meja makan 10 tempat duduk dan kabinet pantry atau dapur kering. Oh ada lagi, workstation untuk dapur basah. Last, katanya tapi masih berjela-jela.

Takpe la, bajet dia! Saya tukang genapkan bayaran yang hujung-hujung tu...

Kredit Imej : www.superstock.com

Tuesday, August 25, 2009

Ikat Batu


"Ayah, macam mana dinding dibuat?" tanya anak sulung saya, ketika melawat tapak rumah di awal pembinaan.

Macam mana nak menjawab? So, saya pun explain sambil membuat demo susun batu bata secara bertingkat-tingkat. Batu bata yang disusun bertindih atau rapat, perlu disimen untuk mengukuhkan ikatan sebelum dibiarkan mengering.

Saya pernah dengar dari tukang, ada beberapa cara dalam menyusun batu bata untuk membina dinding. Kalau sesiapa ada pengetahuan, tolong kongsi dalam ruangan Comment di bawah.

Kerja mengikat batu dibuat selepas beam tapak kering dan telah ditanggalkan papan acuannya. Antara lapisan beam dan barisan terbawah batu bata, 'tikar ikat batu' sejenis lapisan plastik asphalt berukuran 4 inci lebar diletakkan. Fungsinya, bagi menahan lembapan diserap dari bahagian bawah tanah naik ke atas dinding membentuk kulat atau kesan seperti lumut.

Manakala selepas 5 lapisan batu bata yang telah diikat, kawat besi akan diletak secara mendatar juga bagi mengukuhkan ikatan batu bata. Namun ada tukang berpendapat kawat besi boleh diganti dengan dua batang kawat BRC kecil (lebih kukuh, katanya) kerana disetiap penghujung kawat boleh dibengkokkan selepas beam tiang dibina.

Menyentuh beam tiang dan alang, ada yang berpendapat ia perlu dibina sebelum kerja ikat batu bermula kerana mudah untuk menentu ketegakkan dinding. Benang akan diikat dari alang ke lantai dibahagian kiri dan kanan serta ditentu tegak menggunakan timbang air. Kemudian satu lagi benang diikat secara mendatar dan ketika kerja mengikat batu, benang yang mendatar akan menjadi penanda ketinggian ikatan.

Hasilnya, ikatan batu kelihatan cantik dan kemas. Dan ini adalah teknik ikat batu yang digunapakai dalam standard pembinaan, kata Kontrakor kami. Itulah...dulu tak nak belajar vokasional. Aik!

Ada yang berpendapat, apa nak cantik-cantik, bukan ke lepas itu kena lepa dan disimenkan! Ha ha ha...ini kena tanya master atau sifu dalam Bina Rumah Impian.

Monday, August 24, 2009

Logik

Selamat Menyambut Ramadhan.

Tahun sudah selepas solat tarawikh, saya temui kawan yang baru sahaja selesai membuat kerja penambahan ruangan dapur beliau. Kediamannya bertempat di tengah Kuala Lumpur, sememangnya berhampiran dengan lokasi jualan bahan binaan dan aksesori - Jalan Ipoh.

Dalam keghairahan menyiapkan kerja-kerja renovation, beliau terlepas pandang. (Maaf, posting asal berakhir pada ayat ... terlepas pandang.).

"Adoiii! Apa pasai hang pasang lagu tu..." kawan saya mula bercerita. Asal Penang, itu pasal main 'putaq' lagu tu...

Ceritanya. Dalam bilik air, ada basin atau sinki saiz standard yang baru hendak dipasang. Kedudukan mangkuk tandas duduk, terletak ditengah-tengah ruang sebesar 6' x 4' manakala pancuran air dihujung bilik air. Hajatnya nak pasang basin tu berhadapan pintu masuk. Betul-betul berhadapan mangkuk tandas, ada outlet pipe. Kawan saya agak sibuk pada hari itu dan balik rumah sekitar 5 petang.

Alamak! Sudah menjerit kawan saya."Awat hang pasang betoi-betoi depan mangkuk tandas?". Jawab tukang, "Dekat sikit boss dengan water outlet." Ada sikit sahaja ruang untuk berjalan dicelah antara mangkuk tandas dan basin.

"Hang ubah esok. Hang pikiaq aku nak 'melabuq' sambil-sambil berus gigi ka? Baguih punya logik. Tak kisah la, nak boh stop cock atau tarik paip baru asalkan bukan depan mangkuk tandas." bebel kawan tu.

Cerita hampir sama juga berlaku di rumah lain. Paras lantai bilik air, tanpa disedari cuma rendah 0.5" dari ruang luar. Silap-silap boleh melimpah jika saliran keluar air tersumbat. Ada juga pancuran air yang betul-betul di hadapan pintu bilik air. Tempiaskan? Rosak pintu dan jenangnya. Ada juga basin yang dipasang cukup menghimpit ke dinding, silap-silap masa memberus gigi, siku tangan kita berlaga dengan dinding.

Rumah anda yang punya, anda tentukan.

"Don't break my heart!".

Friday, August 21, 2009

Makhluk Perosak


Sebelum kerja penanaman cerucuk bermula, pihak Kontraktor lazimnya melakukan rawatan pencegahan anai-anai pada tapak rumah. Ada yang menggunakan racun perosak, menabur serbuk kapur dan diesel di atas tanah dan macam-macam teknik lagi.

Namun ini tidak menjamin 100% bahawa makhluk perosak menjauhi kediaman anda. Emmm...macam ayat iklan syarikat fumigation! Sekali rawatan, dijangka mampu menghalau anai-anai, lipas, semut merah dan hitam bagi tempoh 4 ke 5 tahun bergantung jenis racun yang digunakan.

Ini idea yang dikongsi oleh seorang usahawan Ikan Bakar terkenal berdekatan rumah kami dalam merawat makhluk perosak khususnya anai-anai. Selepas selesai kerja memasang beam lantai, kenalpasti lokasi untuk diletak rangkaian batang paip PVC berukuran 1 inci diameter yang telah ditebuk lubang-lubang kecil. Punca-punca rangkaian paip perlu diletak ditepi dinding sebelah luar rumah.

Apabila ingin membuat rawatan anai-anai, pihak penyedia khidmat cuma perlu masukkan racun pada punca-punca lubang dan 'menembak' dengan pump jet. Menerusi lubang-lubang kecil di batang paip, racun akan meresap masuk ke dalam tanah. Tutup punca lubang dengan penutup getah bagi mengelak tersumbat atau menjadi rumah kepada serangga lain.

Baru-baru ini, saya cuba mendapatkan nasihat dari syarikat fumigation Bumiputera di Duyong. Jika dahulu teknik menggerudi lantai dan dinding dalam rumah digunakan, pilihan kini hanya sekadar menggerudi lubang di luar rumah. Fuh! Selamat lantai rumah kami...Penyemburan pula mampu menghalau semut dan serangga yang menjadi makanan cicak. Cicak pun satu masalah besar!

Harga? Bermula dari $500 mengikut keluasan rumah. Hubungi kami untuk maklumat lanjut...ha ha ha komisen masyukkk...Gurau aje!

Thursday, August 20, 2009

Plug Point



Kesempatan melihat rumah bungalow dua tingkat sekitar Julai 2007, milik pelanggan saya di Ozana Resort, Melaka memberi lonjakan inspirasi dalam merancang Bina Rumah Impian.

Tuan punya, Haji Abu cukup hebat dengan idea lantaran kerap berada di luar negara atas urusan tugas. Jauh perjalanan, luas pengetahuan! Hebat rumahnya, tak tahu nak gambarkan apatah lagi lokasi rumah berjiran dengan kediaman rasmi KM Melaka.

Paling saya tertarik adalah plug point yang boleh dilihat disana sini di luar rumah. Logiknya, memudahkan kalau-kalau nak pasang alatan atau perkakas elektrik mudah alih seperti vacuum cleaner, kipas berdiri, charger handphone, water pump jet dan seumpamanya.

Tak perlu menggunakan wayar atau kabel penyambung yang berselirat sepanjang-panjangnya! Sesuai dengan'kerajinan' saya menggunakan vacuum cleaner untuk menyedut habuk atas lantai dan kabin motokar.

Pesanan Haji Abu, pandai-pandailah anggar kedudukan sesuai plug point, tinggi separas lutut atau separas bahu segalanya mengikut kegunaan. Contohnya di ruang keluarga atau tamu, lebih sesuai di kedudukan paras lutut untuk 'menyorok' kabel alat pandang dengar. Di dapur, sesuaikan dengan ketinggian kabinet dapur. Risiko percikan air hujan dan anak kecil yang bermain lubang plug point tanpa penutup keselamatan WAJIB diambilkira.

Dan baru-baru ini ketika mengadakan majlis keramaian di rumah, saya akui betapa praktikalnya idea Haji Abu. Kadang-kadang, kita tak perasan perkara sekecil ini. Terima kasih!

Wednesday, August 19, 2009

Rangka Bumbung


Rakan kami yang muda belia (macam kami he he he), sedang ligat dalam Bina Rumah Impian. Sedang enak bersarapan selepas menghantar anak masing-masing ke kelas tuisyen awal Julai lalu, isteri rakan saya (Puan Hajah) menimbulkan pertanyaan berikut :

"Mana bagus? Rangka kayu atau besi untuk bumbung?" tanya beliau sambil saya memandang-mandang wajah isteri yang leka melayan anak kecil kami.

Kukuh atau tidak, risiko anai-anai, faktor panas sejuk cuaca (besi boleh mengembang bila cuaca panas melampau) dan kos? Amboi! Bertubi-tubi, laksana kami ini kontraktor yang bertauliah...

Perlu ambil tahu, dua (2) keping atap genting aje beratnya mencecah 1kg! Anai-anai 'tak lalu' nak gigit besi. Kalau rangka besi dipilih, memanglah sesuai tapi kata Puan Hajah (yang tak kisah sangat pasal kos) itu lagi, rangka bumbung besi yang pernah dilihat tidak sekukuh mana. Aduh!

Cuba rujuk lukisan struktur dari Jurutera Binaan, yang wajib ada pada Pelan yang dikemuka kepada Majlis Tempatan. Itulah jawapan (alasan sebenarnya...) yang paling 'mujarab'. Fuh!

Berkongsi rupa bumbung rumah kami yang berbentuk 'A', pada kecerunan 30% memerlukan kayu tongkat menegak yang cukup tinggi. Lagi banyak kayu, maka ongkosnya pun serupa.

Selesai sarapan, kami dijemput ke tapak projek.

Omak aiiii...keluasan binaan 3,800 kps. Minggu lepas, apabila kebetulan lalu di lokasi sama, rangka kayu dipilih oleh Puan Hajah. Memang orangnya, plenty of $$$.

Nota : Kredit imej dari Lafarge Malaysia.

Tuesday, August 18, 2009

Ventilation

Banyak juga rujukan telah saya buat untuk memaksima aliran pengudaraan atau ventilation dalam rumah kami. Persekitaran yang nyaman, pasti mengikat rasa ingin meluangkan masa berhujung minggu di rumah sendiri.

Pernah tidak apabila kita pulang ke rumah terutama di waktu tengahari dan petang, terasa bahangnya apabila walaupun kipas terbuka ligat? Saya rasa, rata-rata pengunjung blog Bina Rumah Impian sependapat, terutama yang mendiami kawasan perumahan.

Senario tersebut dinamakan convection effect . Istilah ini, bukan saya cipta. Ada laman sesawang (lupa URL) berkongsi bahawa di Asia, kepanasan tinggi dan penggunaan bahan binaan seperti batu bata tanah liat menyumbang kesan bahang tersebut.

Kami tidak mampu untuk meletak penyaman udara di segenap ruang dalaman rumah, jadi pilihan yang ada ialah...cuba lakukannya secara semulajadi dengan kos yang minima!

Bagaimana?
Pilihan yang ada...
1. Tetingkap rumah.
2. Ketinggian siling dari lantai.
3. Lubang angin di dinding.
4. Lubang angin di siling.
5. Pasang Roof Turbine.
6. Kipas ventilation di siling dan di dinding.
7. Lanskap.

Kesannya?

Nyamannya...

Ya, mungkin dibantu oleh persekitaran rumah yang masih 'dihiasi' pokok-pokok getah dan tapak rumah di bawah lembah bukit, namun saya percaya pelan lantai dan aliran udara yang baik dalam rumah adalah penyumbang utamanya. Akan dikupas satu persatu.

Friday, August 14, 2009

Nak Jimat?


Persoalan ini ditanya oleh Bapa Mertuaku, merangkap supervisor projek membangun kediaman untuk anak menantunya. Sehingga kini lima (5) buah rumah anaknya telah 'mendapat sentuhan peribadi' beliau.

Ramai berpendapat, hendak berjimat cuba-cubalah 'beli barang dan upah tukang'. At least jimat 20%!

Sedikit mengenai Hj. Ghauth Hj. Ali, Bapa Mertuaku. Pesara dari Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka berjawatan Pensyarah. Tiga rumah pertama anak-anak, diserah bulat-bulat kepada Kontraktor termasuk rumah kami(projek ketiga).

Jauh disudut hati, kami tak nak membebankan beliau yang sudah masuk usia 68 tahun. Kami mengalah dan outsourced kepada Kontraktor yang diperkenal oleh Arkitek.

Entah dimana magic, projek kediaman anak keduanya (projek keempat) Hj. Ghauth buat keputusan untuk lebih berdikari, beli bahan binaan sendiri. Paling hebat, floor plan pun buat sendiri, sekadar lakaran ringkas menggunakan pensil 2B milik cucunya.

Tanyalah Hj. Ghauth, di Melaka kedai hardware yang mana murah, kat mana nak order mixed concrete, kawat BRC, genting, cat hatta paku pun beliau ikhtiarkan.

Kos keseluruhan? Memang jimat, 25% daripada sebutharga Kontraktor. Namun ada pro dan kontra yang akan dikongsi dalam karya blog akan datang.

Kredit Imej : www.istockphoto.com

Thursday, August 13, 2009

Cerucuk


Kerja penanaman cerucuk memerlukan pengetahuan, pengalaman dan justifikasi yang tepat. Adalah penting pihak Kontraktor mengetahui asal usul tapak pembinaan. Tanah sawah atau berpaya yang ditambak, bukit yang diratakan ataupun bekas lombong.

Ini menentukan kesesuaian penggunaan kayu bakau atau batang konkrit untuk menanam cerucuk atau piling. Perlu atau tidak pada saya, ianya WAJIB!

Ketahanan struktur rumah, bergantung pada asasnya. Rumah banglo dua tingkat atau setingkat, tak sama kedalamannya. Pergerakkan tanah, walaupun tidak ketara namun dalam jangkamasa panjang siapa yang tahu? Keselamatan isi rumah, tiada kompromi dalam Bina Rumah Impian!

Rumah kami menggunakan kayu bakau untuk kerja cerucuk. Ada 36 lubang, setiap satu mengandungi 12 batang kayu bakau bersaiz 3"-4" diameter sepanjang 10 kaki setiap satu. Kedudukan lubang lazimnya dibuat disudut atau penjuru dinding di mana tiang rasuk atau beam akan didirikan.

Sebelum itu, lubang sebesar 3' x 3' dikorek pada kedalaman 4 kaki. Batang kayu bakau dihentam ke dalam tanah secara menegak menggunakan jentera hingga separas permukaan dalam lubang-lubang yang dikorek.

Tukang rumah kini sedia meletak 'tapak gajah' di atas pancang-pancang kayu bakau yang tertanam. Tapak gajah merupakan susunan batang-batang BRC yang diikat kawat, dibentuk segiempat sama bersaiz 2.5' x 2.5' berfungsi 'mengcengkam' kombinasi struktur yang dikenali sebagai footing. Acuan untuk footing diletak atas tapak gajah, yang kemudianya satu lagi ikatan batang-batang BRC sepanjang 6' akan diletak menegak di dalamnya dan kemudian diisi bancuhan konkrit serta dibiar mengering.

Wednesday, August 12, 2009

Jemputan


Salam sejahtera Pengunjung blog Bina Rumah Impian.

Jemput semua untuk hadir ke Majlis Aqiqah anak kami, Khayrin Jazleena dan House Warming pada tarikh berikut :

15 Ogos 2009,Sabtu bermula jam 1 tengahari.
Lokasi : Lot 87, Jalan Bukit Ranting, Permatang Duyong, 75460, Melaka.

Hubungi Azan (019-316.76.06) atau Lela (019-663.40.14) untuk panduan.
Rujuk juga Google Map dibawah blog ini dan klik pada pin merah untuk ketahui jarak rumah kami dari lokasi anda.

GPS coordinate : N 02° 12.425' & E 102° 18.010'
atau 2.206735 102.300000. Betul ke? cuba lah...

Selamat dalam perjalanan Anda.

Kredit Imej : www.mel-ink.com

Tuesday, August 11, 2009

Pelan Lantai


Atau Floor Plan lazimnya sudah ada direncana pemikiran kita, bak kata Sean Connery ...all blueprints are on my head!. Nisbah bilik tidur berbanding tandas, kedudukan ruang tamu dan keluarga, susun atur dapur dan keluasan binaan. Itu 'sifir' yang paling asas.

Ambil kira juga faktor prima (mungkin sekunder, bagi orang lain) seperti jarak pintu bilik tidur dengan tandas, pintu bilik tidur yang terlindung dari pandangan terus dari ruang tamu dan keluarga atau jarak dapur dengan ruang makan. Privasi dan keselamatan isi rumah jangan sesekali diabaikan!

Di posting sulung blog Bina Rumah Impian, dikongsi lakaran kami ditolak oleh Arkitek, salah satu kerana mengabaikan faktor-faktor di atas.

Ketika membelek koleksi lakaran kasar dipremis Arkitek, akhirnya saya tertarik dengan satu lakaran yang berusia 23 tahun dan minta diubahsuai mengikut isi rumah yang bakal dibina.

Arkitek turut berkongsi perlunya zone dalam susun atur pelan lantai. Jika bajet terhad, rancang pelan lantai yang boleh dibuat penambahan pada 5 atau 10 tahun kemudian dengan gangguan minima ruang dan bentuk rumah sedia ada.

Satu penjelasan mudah dan logik hasil pengalaman 25 tahun dalam industri. Pesanan saya, dapatkan pandangan dari mereka yang arif walaupun perlu membayar lebih. Ya, benar caj Arkitek lebih tinggi dari Pelukis Pelan, bersesuaian dengan deliverables.

Lihat pelan lantai dalam karya blog kali ini, ' ringkas' tapi berjaya mengelirukan pandangan sesetengah orang.

Bata Merah vs Bata Simen


Di blog Bina Rumah Impian ini saya cuba menyentuh setiap sudut dalam pembinaan sesebuah rumah berdasarkan pengalaman kami serta ulasan dari mereka yang berada dalam industri berkaitan.

Saya bukan seorang yang pakar, namun coretan yang bakal dikongsi diharap dapat membantu pengunjung blog ini.

Paling asas, pemilihan batu bata untuk dijadikan dinding rumah. Lazimnya di negara kita, bata merah dan bata simen menjadi pilihan. Ada berbagai jenis, kualiti dan saiz, dari yang padu sehinggalah berongga ditengah-tengahnya.

Kami ditunjukkan demo ringkas oleh kontraktor untuk membezakan ketahanan bata merah dan bata simen. Kedua-dua jenis bata, dilepas secara bebas pada ketinggian 8 kaki di atas permukaan simen konkrit.

Keputusannya, bata merah rata-ratanya meretak atau pecah berderai manakala bata simen kekal tidak terjejas. Tambahan lagi, bata simen lebih cepat kering apabila dilepa dengan simen sekaligus menjimatkan masa terutama bila berhadapan cuaca tidak menentu.

Dari segi harga, ya. Bata simen lebih murah. Bata simen juga lebih panjang 2 sentimeter berbanding bata merah. Memang nampak kecil, namun jika keperluan bahan binaan ini (untuk rumah saya contohnya) menghampiri 14 ribu butir...satu hal jugak tu!

Monday, August 10, 2009

Biarpun Kecil


Memiliki rumah sendiri adalah impian semua pasangan yang telah berkahwin. Ramai juga yang mula memiliki hartanah sejak bujang lagi. Baru mulakan karier, nak bayar pinjaman pendidikan lagi, eh! Macam-macam...simpan aje hajat nak Bina Rumah Impian.

Saya sendiri, membuat keputusan membeli sebuah apartment di pinggir KL enam (6) bulan sebelum mendirikan rumahtangga. Sejak disiap dibina pada tahun 2002, unit apartment seluas 765 kaki/ segi (3R, 2B) disewa kepada pasangan muda dan kini pelajar universiti.

Ikut hati, memang hendak miliki landed property namun poket dan komitmen yang lain membatasinya. Alhamdulillah, pelaburan 10 tahun lalu kini hampir sepenuhnya dijelaskan, terima kasih KWSP menerusi skim (1) Pengeluaran Membeli Rumah dan (2) Pengeluaran Menyelesaikan Baki. Klik sini untuk artikel skim berkaitan.

Kata orang "rezeki anak-anak", tiga hari selepas kelahiran anak sulung kami saya menyertai bidaan lelongan rumah dan hurrayyyy! Rumah teres kos sederhana setingkat bersaiz 20 x 65, (3R, 2B) itu menjadi milik kami dengan bidaan RM52,650.00 di Taman Desa Molek, Melaka. Sempat mendiami rumah itu untuk 2 tahun, sebelum kami meneruskan agenda "Nomad" atas sebab tugas.

Teringat kata Abah dan Mak, "Biarpun kecil, asalkan hasil titik peluh kita sendiri.". Insya Allah, rezeki tetap ada.

Friday, August 7, 2009

Bermula Dengan Impian


Salam Sejahetera.

Blog Bina Rumah Impian, adalah suatu menifestasi sentuhan kami dalam membina mahligai kediaman sejak berumahtangga pada tahun 2000.

Bermula dengan impian, merujuk kepada naskah dan artikel (kami masih menyimpan naskah majalah dekorasi Impiana yang terawal menampilkan Camelia penghias muka depan ), makan angin sambil mengutip idea hinggalah lakaran kasar atas kertas.

Kelakar rasanya, apabila lakaran draft kami ditolak mentah-mentah oleh Arkitek. "Takde taste!!!", katanya. Pedih, tapi kena telan kerana hanya Jauhari Mengenal Manikam.

Semoga posting saya dan comment dari pengunjung blog, bermanfaat kerana di Bina Rumah Impian kita berkongsi impian yang sama sebenarnya.